if you need further clarification, do not hesitate to post it here.
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Petronas secara terkumpul masih memberi subsidi berjumlah kira-kira RM36 bilion bagi petrol, diesel serta gas tahun ini, di sebalik kenaikan harga bahan bakar berkenaan yang diumumkan, kelmarin.
Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata berdasarkan penggunaan 11 bilion liter petrol serta 6.2 bilion liter diesel di negara ini tahun lalu, jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi kedua-dua bahan bakar itu tahun ini ialah RM5.16 bilion.
Daripada jumlah itu, RM3.3 bilion adalah subsidi untuk petrol, manakala RM1.86 bilion lagi diesel.
Beliau juga menjelaskan, kerajaan masih memberi subsidi 30 sen seliter bagi petrol dan diesel di sebalik keputusan menaikkan harga kedua-dua bahan bakar itu, masing-masing sebanyak 78 sen dan RM1 seliter.
"Jika dicampurkan dengan bayaran tunai sebanyak RM625 setahun kepada pemilik kereta di bawah 2,000cc dan RM150 kepada pemilik motosikal di bawah 250cc, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan ialah sebanyak RM13.03 bilion," katanya pada taklimat media di sini, semalam.
Setakat akhir tahun lalu, jumlah kereta di bawah 2,000 cc yang berdaftar di negara ini berjumlah 10.7 juta, manakala motosikal di bawah 250 cc pula 7.9 juta.
Berdasarkan angka itu, jumlah pembayaran tunai kepada pemilik kereta di bawah 2,000cc ialah RM6.69 bilion, manakala pemilik motosikal di bawah 250cc pula sebanyak RM1.18 bilion.
Mohd Hassan berkata, Petronas juga masih memberi subsidi yang besar bagi gas yang dibekalkan kepada sektor elektrik dan industri, walaupun harganya dinaikkan antara 124 peratus dan 161 peratus.
Berdasarkan penggunaan tahun lalu, subsidi gas yang diberi Petronas kepada sektor elektrik dan industri tahun ini berjumlah RM23.4 bilion.
Beliau menjelaskan, harga baru RM14.31 mmBtu yang dibekalkan kepada sektor elektrik dan RM24.54 mmBtu kepada sektor industri adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran iaitu masing-masing RM44.42 mmBtu dan RM60.65 mmBtu.
Katanya, hanya kira-kira 30 peratus daripada gas yang dibekalkan itu adalah yang dikeluarkan sendiri oleh Petronas.
Pada taklimat itu, beliau turut menjelaskan antara 60 hingga 65 peratus daripada keuntungan yang diraih Petronas setiap tahun dikembalikan semula kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, royalti dan duti eksport, sementara bakinya digunakan untuk pelaburan semula.
Mohd Hassan berkata, tahun lalu syarikat minyak kebangsaan itu meraih keuntungan sebanyak RM86.8 bilion.
Daripada jumlah itu, RM52.3 bilion dikembalikan kepada kerajaan, RM7.8 bilion bagi bayaran kepentingan minoriti dan cukai asing, manakala baki RM26.7 bilion dilaburkan semula.
Beliau Hassan menegaskan, Petronas perlu membuat pelaburan semula bagi mengembangkan perniagaannya untuk memastikan ia boleh terus menyumbang kepada pendapatan kerajaan, walaupun selepas negara sudah kehabisan rizab minyak dan gasnya.
"Jika berdasarkan sumbangan Petronas kepada kerajaan tahun lalu sebanyak RM52.3 bilion, ia mewakili kira-kira 35.4 peratus daripada jumlah pendapatan Kerajaan Persekutuan tahun lalu.
"Bayangkan apa yang akan berlaku jika Petronas selama ini tidak melaburkan semula keuntungannya, tetapi menggunakan semuanya untuk subsidi," katanya.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1974, Petronas meraih keuntungan terkumpul RM570 bilion dan daripada jumlah itu RM335 bilion dikembalikan semula kepada kerajaan, manakala RM178.9 bilion dilaburkan semula.
Mohd Hassan berkata, Malaysia mungkin menjadi pengimport bersih minyak mentah menjelang 2011 jika kadar pertumbuhan penggunaan bahan api di negara ini yang kini sekitar enam peratus setahun berterusan.
Justeru, katanya, Malaysia perlu berjimat dan menggunakan bahan bakar dengan lebih cekap.
Mengenai tanggapan bahawa syarikat minyak termasuk Petronas kini meraih keuntungan besar berikutan harga minyak mentah dunia yang tinggi, Mohd Hassan berkata sebenarnya margin keuntungan dalam industri itu kini semakin kecil berikutan peningkatan tinggi kos pengeluaran dan cari gali.
"Walaupun harga minyak mentah meningkat kira-kira 100 peratus sejak tiga tahun lalu, kos dalam industri meningkat lebih tinggi sebanyak 200 peratus," katanya.
No comments:
Post a Comment